mutakhir

Pegawai kanan polis disiasat kes rasuah RM80,000

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan pegawai kanan polis bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang suapan bernilai RM80,000 semalam.

Menurut sumber, pegawai lelaki berusia 40-an itu ditahan pada 12.30 tengah hari di Pejabat SPRM Terengganu ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, penahanan suspek dibuat susulan maklumat awam dan risikan pihaknya sejak beberapa bulan lalu.

“Difahamkan, mangsa menyerahkan wang dengan melakukan beberapa transaksi ke dalam akaun suspek sejak tahun lalu, membabitkan jumlah RM80,000.

“Mangsa dipercayai berbuat demikian sebagai dorongan agar tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana kesalahan jenayah yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan pegawai terbabit yang kini direman selama enam hari sehingga Ahad.

Dia disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 4:47pm
d