mutakhir

Rupanya bau mayat ibu saudara [METROTV]

Oleh Norizuan Shamsuddin

WANITA menyangka bau busuk dekat rumahnya di Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu adalah bau bangkai kucing.

Namun sangkaannya meleset dan lebih mengejutkan apabila bau itu terbit daripada mayat ibu saudaranya yang hampir lima hari meninggal dunia.

Suraya Ismail, 35, menemui mayat ibu saudaranya Jarah@Aminah Awang, 75, di dalam bilik rumahnya yang terletak bersebelahan kediamannya di kampung itu pada 7.30 pagi hari ini.

“Saya sangkakan bau bangkai kucing tapi makin lama makin kuat bau busuk itu sehingga membuatkan saya dan suami curiga.

“Tak sangka itu bau mayat kerana kami ingatkan mak saudara (Jarah) tiada di rumah disebabkan pintu rumah itu berkunci.

“Lagipun anaknya biasa datang ambil arwah untuk dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Atas Tol pada setiap Jumaat,” katanya ketika ditemui.

Suraya berkata, dia dan suaminya sudah mengesan bau busuk itu sejak tiga hari lalu dan baunya semakin kuat dekat kawasan rumah arwah, menyebabkan mereka curiga sebelum menghubungi anak arwah untuk kepastian.

“Bagaimanapun, anak arwah memaklumkan ibunya tiada dengan mereka dan ahli keluarga menghubungi polis bagi melakukan pemeriksaan, sebelum menemui mayat di dalam bilik di rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia melihat ibu saudaranya pada 3.30 petang, Jumaat lalu dan arwah tinggal bersendirian di rumah itu selepas kematian suami.

Katanya, Jarah@Aminah juga menghidap kencing manis dan darah tinggi.

“Kebelakangan ini, arwah dikatakan jarang mahu ke rumah anaknya walaupun anaknya datang untuk mengambil dia.

“Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Binjai, selepas selesai bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 6:33pm
d