mutakhir

Datuk dalang 'permit kerja' palsu

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

LAPAN individu, termasuk lelaki bergelar datuk ditahan selepas disyaki menjalankan aktiviti pendaftaran kad palsu untuk warga asing, kononnya untuk membolehkan golongan itu mendapatkan pekerjaan, semalam.

Mereka ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah hotel di ibu negara dalam operasi khas pada 3.30 petang dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Sindiket berkenaan dipercayai mengeluarkan kad palsu itu kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan mendakwa kononnya kad itu diperakui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud, berkata sindiket itu didalangi seorang individu bergelar datuk yang juga pengarah syarikat agensi pekerjaan terbabit.

“Modus Operandi (MO) agensi ini mensasarkan warga asing berstatus PATI bagi mendapatkan kad berkenaan yang didakwa berfungsi sebagai ‘permit kerja’.

“PATI terbabit perlu membayar RM4,000 sebagai pendahuluan sebelum mereka ditipu dengan ditemu bual oleh individu yang menyamar sebagai ‘pegawai KDN’ dan ‘pegawai imigresen’.

“PATI itu juga perlu membayar lagi RM4,500 bagi melengkapkan urusan dan mendapatkan kad MCAC yang sudah siap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, dalam serbuan, pelbagai dokumen disyaki palsu menggunakan nama KDN dan JIM turut dirampas, selain seorang individu warga Indonesia ditahan.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Agensi Pekerjaan Swasta.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 9:17pm
d