mutakhir

Rumah tanpa dinding

Oleh Zaid Salim

RUMAH usang berdinding kain dan batang sagu menjadi tempat perlindungan seorang warga emas sejak kematian suami lebih 10 tahun lalu.

Walaupun hanya sebahagiannya sahaja berdinding, Raja Maimunah Chik, 69, tetap menganggap rumahnya di Kampung Kubang Bujuk, Manir di sini, adalah syurga buat dirinya.

Tanpa bekalan elektrik dan air, Raja Maimunah mengakui adakalanya dia berasa takut tinggal bersendirian kerana selain terdedah dengan gigitan nyamuk, dia juga berdepan serangan haiwan berbisa memandangkan rumahnya tidak berpintu dan ada sebahagiannya tidak berdinding.

Menurutnya, dia berharap ada pihak yang sudi membantu membaiki rumahnya supaya lebih selesa untuk didiami.

“Mak cik cuma perlukan kediaman yang sedikit selesa dilengkapi bekalan elektrik dan air kerana untuk makan dan minum, wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mak cik terima sudah cukup untuk mak cik menyara diri sendiri,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di sini semalam.

Raja Maimunah mendakwa pernah mengadu kepada penghulu dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengenai masalah dihadapinya namun aduannya itu bagaikan mencurah air ke daun keladi kerana sehingga kini tiada tindakan diambil.

Katanya, rumah pusaka peninggalan orang tuanya itu berada dalam keadaan baik serta dilengkapi bekalan elektrik dan air sebelum ini namun segalanya rosak selepas dia dan arwah suami, Idris Muhamad meninggalkan rumah berkenaan kepada anak lelakinya, Afendi, 37, yang menghidap strok dan sawan ketika mereka belajar di sebuah pondok di Kelantan pada 2007.

“Arwah suami berasal dari Johor Bharu (JB) dan meninggal dunia di dalam bas akibat lelah ketika kami pulang dari JB ke Terengganu selepas bercuti hari raya Aidiladha pada 2008.

“Selepas suami meninggal, mak cik bawa Afendi tinggal bersama mak cik di Kelantan kerana bimbang keselamatannya dan kembali semula ke kampung halaman pada 2017 selepas 10 tahun belajar di pondok.

“Selama mak cik berada di Kelantan, rumah ini dimasuki orang dan dijadikan sebagai tempat melepak dan menghisap dadah manakala wayar elektrik di dalam rumah semua dicuri,” katanya yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan lelah.

Katanya, selain Afendi, dia turut memiliki seorang lagi anak perempuan, Norykha, 42, dan tinggal di Klang, Selangor bersama suami dan dua anaknya.

Bagaimanapun, selepas anak lelakinya meninggal dunia Disember tahun lalu, dia tinggal bersendirian selain sesekali ditemani anak perempuan, menantu dan dua cucunya ketika mereka pulang bercuti.

“Mak cik pernah memohon bantuan membina rumah dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) tetapi tidak lulus kerana tidak memiliki tanah sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 5:45am
d