mutakhir

Mereka ejek cara jalan

Oleh Rosyahaida Abdullah

MENJADI bahan jenaka orang di sekeliling disebabkan kekurangan fizikal menjadi perkara biasa bagi Hussein Said, 25, dan dia tidak ambil pusing ejekan berkenaan.

Sebaliknya, anak keenam daripada tujuh beradik itu menganggap gelaran orang kurang upaya (OKU) sejak lahir menjadikannya kuat untuk memajukan diri setanding insan biasa.

Kejayaan dikecapi abang dan kakaknya dalam bidang masing-masing di menara gading, Hussein membulatkan tekad untuk memiliki ijazah biarpun sedar ia agak sukar bagi insan sepertinya.

Usahanya berhasil apabila berjaya menamatkan pengajian Bachelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-43 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, semalam.

“Saya akui sukar melupakan bagaimana rakan sebaya meniru cara saya bergerak secara mengengsot sejak sekolah rendah sebelum menggunakan kerusi roda di tingkatan tiga hasil bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ia menjejaskan emosi saya pada awalnya, tetapi lama-kelamaan saya lali dan mula fokus kepada impian untuk ke universiti.

“Alhamdulillah, ayah dan ibu jadi tulang belakang sepanjang masa selain pensyarah yang sentiasa menghulurkan bantuan dan motivasi saat saya buntu.

“Ada ketikanya saya hampir putus asa, mereka sentiasa ingatkan kembali bagaimana saya boleh berada di tahap itu, takkan nak menyerah begitu sahaja.

“Kini saya menyambung pengajian peringkat master dan berharap cita-cita menjadi pensyarah tercapai. Saya mahu memotivasikan OKU lain supaya terus mencari kejayaan, jangan hanya lihat halangan dan tembusinya untuk gapai peluang di depan,” katanya.

Pasangan suami isteri, Dr Ahmad Ilyas Rushdan, 28, dan Siti Nur Atikah Mahamud, 26, turut berkongsi bagaimana mereka mampu menghabiskan pengajian serentak pada usia muda dengan dua anak kecil.

Menurut Dr Ahmad Ilyas, asalkan fokus dengan impian bersama, jalan ke arah itu lebih mudah meskipun berdepan liku tidak terduga.

“Kuncinya adalah disiplin terutama dari segi kewangan kerana kami belajar serentak. Selain pendapatan saya sebagai Posdoktoral di Fakulti Kejuruteraan UPM, isteri juga berniaga cheesekut bagi menampung perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya.

Dr Ahmad Ilyas dan Siti Nur Atikah masing-masing menamatkan pengajian ijazah Doktor Falsafah (PhD) Biokomposit Teknologi dan Rekabentuk serta Master Kejuruteraan Kimia.

Dr Ahmad Ilyas bercadang membina kerjaya selepas ini sebagai pensyarah, manakala Siti Nur Atikah berhasrat menyambung pengajian peringkat PhD terlebih dulu.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 6:00am
d