mutakhir

Remaja cedera ketika selamatkan diri

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

REMAJA lelaki cedera ketika menyelamatkan diri selepas rumahnya di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, terbakar, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.03 pagi.

“Seramai 27 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail, BBP Sri Hartamas dan BBP Pantai dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati dua bilik di rumah berkenaan yang terletak di tingkat dua pangsapuri terbabit terbakar sebelum kebakaran itu berjaya dipadam jam 4.46 pagi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kejadian itu menyebabkan seorang daripada enam penghuni rumah berkenaan berusia 18 tahun cedera di tangan dan kaki ketika keluar dari kediaman berkenaan untuk menyelamatkan diri.

“Difahamkan, rumah berkenaan dihuni suami isteri bersama empat anaknya berusia antara 18 hingga tujuh tahun. Anak sulung mangsa dilaporkan luka di bahagian tangan dan kaki ketika keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

“Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan,” katanya yang memaklumkan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 8:26am
d