mutakhir

Tetak bapa saudara

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

ANGKARA mabuk, lelaki menetak bapa saudaranya hingga parah dalam pergaduhan di rumah mereka di Kampung Panchor, Rompin, dekat Jempol, malam tadi

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 26 tahun parah di dahi, dada dan tangan kiri akibat ditetak menggunakan parang oleh anak saudaranya berusia 19 tahun.

Difahamkan, ketika kejadian mereka mabuk sebelum berlaku pertengkaran.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, polis menerima maklumat kejadian jam 11.55 malam sebelum sepasukan anggota ke lokasi.

“Sebelum kejadian, mangsa dan anak saudaranya itu dikatakan memancing di Bahau, jam 5.30 petang dan pulang semula ke rumah pada 10 malam dalam keadaan mabuk.

“Mangsa meminta suspek membeli arak dan memberinya RM50. Sebaik suspek pulang ke rumah, mangsa meminta baki wang menyebabkan suspek berasa tidak puas hati dan berlaku pertengkaran.

“Suspek dikatakan masuk ke dapur dan mengambil parang lalu menetak mangsa. Pergaduhan itu dileraikan oleh ahli keluarga sebelum mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hafiz berkata, suspek melarikan diri dengan motosikal dan polis kini sedang giat mengesan suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 12:53pm
d