mutakhir

'Kaki rembat' rim aloi dicekup

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

EMPAT lelaki aktif mencuri rim aloi pelbagai jenis kenderaan ditahan polis dalam beberapa siri serbuan di sekitar Sepang.

Suspek yang berusia antara 20 hingga 34 tahun itu ditahan pada 19 November lalu hasil risikan polis dan maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, tangkapan itu sekali gus berjaya menyelesaikan lebih 10 kes kecurian rim aloi.

“Pada 19 November lalu, pengadu menerima panggilan daripada abangnya yang memaklumkan rim kenderaan miliknya yang diletakkan di Unipark Kajang sudah tiada.

“Hasil daripada laporan berkenaan, polis pergi ke Kampung Sungai Merab Luar, Kajang dan menahan tiga lelaki.

“Sejurus tangkapan dibuat, polis berjaya merampas sebuah Perodua Myvi berwarna hitam, empat biji rim aloi, lima batu yang digunakan untuk ‘meninggikan’ kenderaan dan beberapa jenis playar seperti ‘lock nut’ dan pembuka tayar yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.

“Polis juga berjaya merampas 11 tayar kereta pelbagai saiz bersama 30 rim aloi pelbagai saiz yang diletakkan di belakang rumah suspek,” katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di Sepang, hari ini.

Beliau berkata, suspek disyaki sudah aktif sejak pertengahan tahun ini dan menjual rim aloi yang dicuri itu melalui pelbagai paltform termasuk Internet.

“Dianggarkan satu set rim berkenaan dijual dengan harga RM600, mereka akan menjual secara dalam talian dan menyasarkan kenderaan yang sering mendapat permintaan dari pembeli dan bukannya kenderaan mewah,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati tiga daripada empat suspek terbabit masing-masing mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan seorang lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A (2) Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri komponen kenderaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 1:46pm
d