mutakhir

Makanan bercampur najis tikus [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

“SAYA cuci kedai setiap hari, tetapi tikus datang juga,” kata pemilik restoran di Gat Lebuh Cecil, Pengkalan Weld, Georgetown, dengan nada marah kepada petugas Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) apabila premisnya diperintahkan tutup selama 14 hari bagi kerja pembersihan.

Pertengkaran dicetuskan peniaga lelaki warga emas berikutan tidak berpuas hati dengan kompaun dikenakan menerusi operasi berkenaan.

Katanya, restoran berkenaan pernah diberi notis penutupan tidak lama dahulu akibat masalah sama.

“Selepas itu, saya sudah menggunakan kaedah sangkar dan racun tikus bagi menghalang haiwan itu, namun tidak berkesan.

“Sekarang dapat (notis) lagi, saya sudah tidak tahu hendak buat apa,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Malah ketika operasi dijalankan, beberapa ekor tikus kelihatan berkeliaran di sekitar restoran berkenaan.

Restoran itu antara lima premis diperintahkan penutupan di bawah Undang-undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991 berkuat kuasa hari ini hingga 3 Disember depan.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan, M Bawani berkata, menerusi Operasi Penang Sihat, sebanyak sembilan kompaun setiap satu berjumlah RM80 dikeluarkan kepada penjaja berikutan tiada suntikan typhoid.

“Najis tikus di semua premis diperiksa dijumpai di dapur, tempat menyimpan makanan dan minuman serta dalam peti sejuk.

“Tidak seharusnya ada (najis tikus) kerana makanan disimpan boleh tercemar, sekali gus menyebabkan penyakit kepada pelanggan,” katanya.

Bermula 1 November lalu, MBPP diberi kuasa mengikut undang-undang kecil terbabit yang membenarkan kompaun dan arahan penutupan sekiranya kebersihan premis tidak mencapai piawaian ditetapkan.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 3:12pm
d