mutakhir

Padah pukul isteri guna topi keledar [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PEKERJA kilang simen dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, selepas mengaku salah memukul isterinya menggunakan topi keledar.

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Shaiful Afeezan Mohd Ali, 36.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang juga bapa kepada seorang anak didakwa melakukan perbuatan itu sebuah rumah di Ajil, Hulu Terengganu, 9 malam, 28 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 324 KK memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh dihukum penjara dua kali ganda tempoh yang dikenakan mengikut Seksyen 324 KK, bagi kesalahan mengikut Seksyen 326A KK.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, suami isteri itu bertengkar berikutan keengganan mangsa menyerahkan wang kepada tertuduh yang mahu membeli dadah.

Tertuduh bertindak memukul kepala isterinya menggunakan topi keledar selain turut menyepak belakang badan mangsa.

Mangsa yang kesakitan di bahagian belakang badan dan kepala selain lebam kedua-dua belah mata membuat laporan polis.

Tertuduh ditangkap pada jam 2 pagi. 29 Oktober lalu.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 3:37pm
d