mutakhir

Terima skrol ijazah dalam wad hospital

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

GRADUAN Ijazah Sarjana Muda dari Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpaksa menerima ijazahnya di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selepas menghidap denggi.

Nur Izyan Munira Amran, 23, dari Kelantan terpaksa melupakan impian bersama rakan graduan lain pada Istiadat Konvokesyen Kali ke-14 UniMAP, semalam, apabila disahkan menghidap penyakit itu sejurus mengambil jubah graduasi, Khamis lalu.

Nur Izyan berkata, dia bersyukur apabila pihak pengurusan universiti sudi meluangkan masa dengan menganugerahkan ijazah kepadanya dalam majlis serba ringkas di wad HTF.

“Sebenarnya semalam (kelmarin) ibu bapa saya tiba di Perlis dari Kelantan, saya berhasrat untuk hadir juga ke sidang konvokesyen, namun tidak dibenarkan doktor.

“Memang rasa kecewa sangat kerana semuanya sudah tersedia. Tetapi dengan kehadiran Naib Canselor (Profesor Ir Ts Dr R Badlishaah Ahmad) ke sini (HTF) dan mengurniakan ijazah, ia pasti akan menjadi satu kenangan tidak akan saya lupakan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menceritakan detik menyedihkan itu, Nur Izyan berkata segalanya bermula selepas dia mengalami sengal di badan dan lemah sejurus mengambil jubah graduasinya.

“Saya mendapatkan rawatan di klinik sebelum doktor merujuk saya ke Hospital Fauziah (HTF) kerana ujian darah mendapati saya menghidap demam denggi dan terpaksa dirawat,” katanya yang kini sudah bekerja di sebuah badan bukan kerajaan di Puchong, Selangor.

Sementara itu, R Badlishah berkata, beliau menerima perkhabaran mengenai keadaan kesihatan Nur Izyan sebelum sidang terakhir dan memaklumkan perkara berkenaan kepada Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Alhamdulillah, Tuanku Canselor memberi perkenan untuk disempurnakan istiadat di sini (HTF).

“Saya mengharapkan inisiatif UniMAP berjaya menggembirakan Izyan meskipun tanpa rakannya,” katanya yang turut berterima kasih kepada pihak HTF di atas kerjasama membolehkan penganugerahan ijazah kepada Nur Izyan.

Pada majlis penyerahan ijazah di wad berkenaan, Nur Izyan turut mengenakan jubah graduasinya dengan dihadiri Ahli Lembaga Pengarah UniMAP, Ridzuan Ishak, Timbalan Pengarah HTF Datuk Dr Abdul Karim Abdullah dan Dekan IKOM, Dr Huzili Hussin.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 4:16pm
d