mutakhir

Penyokong Indonesia buat hal...

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KECEWA selepas pasukan mereka tewas menyebabkan segelintir penyokong Indonesia merosakkan 44 kerusi bernilai kira-kira RM11,000 ketika perlawanan aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang menyaksikan Malaysia menewaskan Indonesia 2-0, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Nik Razeen Adam Daud berkata, laporan kerosakan itu akan diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat untuk tindakan susulan.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya mendapati sebanyak 44 kerusi dirosakkan dan secara kebiasaannya mengikut perjanjian sebelum ini, pihak terbabit akan menanggung kos kerugian peralatan stadium.

“Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) FAM pula menetapkan sebarang aduan diterima perlu disampaikan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)... kita akan tunggu keputusannya nanti.

“Manakala, laporan polis hanya akan dibuat selepas berbincang dengan FAM,” katanya.

Mengulas mengenai jika kerajaan Indonesia harus memikul tanggungjawab itu, beliau berkata, pihaknya tiada hak untuk menyatakan sedemikian sebaliknya ia tertakluk kepada bidang kuasa FAM.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 6:28pm
d