mutakhir

Guru tuisyen cabul anak murid

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

LULUH hati ibu apabila niatnya menggunakan khidmat guru tuisyen untuk mengajar anaknya di rumah lelaki itu bertukar sebaliknya apabila kanak-kanak terbabit menjadi mangsa cabul.

Perkara itu terbongkar selepas wanita berusia 40 tahun itu melihat kandungan mesej di telefon bimbit anaknya yang dihantar lelaki berusia 36 tahun berunsur ayat lucah Jumaat lalu.

Wanita terbabit yang enggan dikenali berkata, anaknya itu belajar bersama lelaki itu yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Mandarin sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, dia memiliki tiga anak dan anak sulung lelakinya berusia 12 tahun itu menjadi mangsa lelaki itu beberapa kali ketika belajar di rumah guru berkenaan.

“Kami agak rapat dengan lelaki itu malah anak saya menganggapnya seperti bapa.

“Malah dia pernah menolong saya memandikan anak namun ketika itu masih belum mengesyaki apa-apa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia yang juga ibu tunggal berkata, sebaik mengetahui kejadian itu, dia kemudian meminta kepastian daripada anaknya sebelum diberitahu guru itu melakukan perbuatan itu sejak awal tahun ini.

“Saya sangat percaya kepada lelaki terbabit namun tidak sangka dia bertindak sedemikian.

“Bimbang dengan keselamatan anak saya membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan Sabtu lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan suspek.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 9:57pm
d