mutakhir

Raja arak tiruan dari Malaysia ditahan

Oleh BERNAMA

RAKYAT Malaysia dinamakan ‘David, raja arak tiruan’, ditahan di Bangkok Isnin lalu atas kesalahan menghasilkan arak tiruan.

Ketua Polis Pelancongan Thailand Pol Leftenan Jeneral Chettha Komolwattana berkata, rakyat Malaysia berusia 63 tahun itu ditahan di tempat letak kereta sebuah pusat membeli belah di daerah Bang Kapi, 2.30 petang (waktu tempatan) Isnin.

Katanya, lelaki itu didakwa menghasilkan arak tiruan, memalsukan label dan tinggal lebih tempoh dibenarkan di negara itu.

“Polis juga menemui peralatan untuk menghasilkan arak tiruan termasuk botol, gabus, penutup, pelekat dan label pelbagai jenama arak, selain setem duti cukai palsu di dalam kenderaan suspek.

“Polis menahan lelaki itu ketika dia sedang membuat penghantaran wiski kepada pelanggan di pusat membeli belah pada Isnin petang.

“Lelaki itu juga cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gettha berkata, siasatan mendapati suspek menggunakan perkhidmatan Grab untuk menghantar produknya.

Katanya, pada 14 November lalu, Polis Pelancongan menemui bungkusan yang mengandungi peralatan menghasilkan arak, botol, label dan pelekat minuman arak dihantar ke Lapangan Terbang Suvannabhumi dan rakyat Malaysia itu penerimanya.

Katanya, penemuan itu membawa kepada penangkapan pada Isnin ketika suspek sedang dalam perjalanan menghantar arak tiruan.

Suspek mengakui yang dia sudah menghasilkan arak tiruan selama lebih 30 tahun lalu.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 12:46am
d