mutakhir

3 cincin tersekat pada jari

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KAKITANGAN perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) terpaksa menghubungi pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan mengeluarkan tiga cincin yang dipakai pada jari kedua-dua tangan lelaki berusia 50-an semalam.

Mangsa sebelum itu dihantar ke HSNZ oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu selepas lelaki terbabit memaklumkan kakinya sakit.

Kehadiran mangsa yang terbaring berhampiran sebuah rumah di Durian Burung disedari peniaga, Mahathir Daud, 40, sebelum lelaki terbabit menghubungi APM Terengganu pada 12 tengah hari bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.30 petang sebelum dia bersama tiga anggota termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke HSNZ bagi membuka cincin dipakai mangsa.

Katanya, kakitangan perubatan cuba memotong cincin dipakai mangsa namun gagal sebelum menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

“Kita mengambil masa satu jam 15 minit untuk memotong tiga cincin dipakai mangsa iaitu satu di jari tangan kanan dan dua di jari tangan kiri.

“Operasi berdepan sedikit kesukaran kerana cincin dipakai mangsa bukan cincin biasa sebaliknya jenis besi padu selain keadaan jarinya yang sudah membengkak.

“Keadaan mangsa stabil dan dia diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 1:18am
d