mutakhir

'Najib minta ubah laporan'

Oleh Murni Wan Omar

RAKAMAN audio mesyuarat dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa yang membincangkan isi kandungan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 24 Februari 2016 diperdengarkan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Audio berdurasi 2 jam 45 minit itu mengandungi suara beberapa individu berbincang dengan satu daripada suara yang dikenal pasti itu milik Ali.

Ali yang juga saksi keempat mengesahkan perkara itu ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang bertanya bagi mengenal pasti suara beberapa individu yang bercakap dalam rakaman berkenaan.

Ali memberi keterangan dalam perbicaraan kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Antara suara dikenal pasti adalah suara milik bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Rakaman audio itu bagaimanapun tidak begitu jelas manakala transkrip perbualan juga tidak tepat menyebabkan ia perlu dibuat baharu dan dikemukakan kepada mahkamah pada Rabu depan.

Ia dipertikaikan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan peguam Datuk N Sivananthan yang mewakili Arul Kanda.

SRI RAM: Di dalam rakaman itu, kamu ada menyebut kepentingan nasional (national interest), apa maksud kamu?

ALI: Reputasi negara.

SRI RAM: Siapa minta mesyuarat ini diadakan?

ALI: Najib.

SRI RAM: Kamu kata ada perubahan dalam laporan, siapa yang minta?

ALI: Perubahan pertama oleh Najib ketika pertemuan diadakan. Apabila mesyuarat diadakan, perkara lain pula timbul dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Arul Kanda.

SRI RAM: Kamu katakan dalam rakaman ini untuk ‘mencarik’ dokumen. Apa tujuan anda?

ALI: Ini kerana ketika mesyuarat itu ada keputusan berhubung laporan iaitu tidak boleh ada lebih dari dua atau tiga versi, hanya patut ada yang muktamad.

SRI RAM: Keputusan itu dibuat ketika mesyuarat?

ALI: Ya, ia dicadangkan dalam mesyuarat, bagaimanapun saya tidak tahu sama ada ia dibuat atau tidak.

Dalam keterangan sebelum ini, Ali ada memberitahu mahkamah Najib tidak berpuas hati dengan isi kandungan laporan itu dan tidak membenarkan ia dicetak sebelum mendapat kebenarannya.

Berikutan itu, beliau mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hal itu dengan meminta wakil 1MDB, Jabatan Audit Negara (JAN), Perbendaharaan, Jabatan Peguam Negara dan PMO dijemput hadir sebelum dibentangkan kepada PAC.

Sementara itu, saksi kelima, Pengarah Audit (Tadbir Urus) JAN, Nor Salwani Muhammad memberitahu mahkamah, pada 27 Februari 2015, PAC diminta JAN melaksanakan pengauditan terhadap 1MDB.

Menurutnya, pada 9 Mac 2015, Ketua Audit Negara memutuskan JAN mengesahkan akaun syarikat 1MDB dan laporan berkaitan perlu diserahkan kepada PAC.

“Saya dilantik menjadi kordinator pasukan pengauditan khas 1MDB pada tarikh sama. Pengauditan bermula pada 10 Mac 2015 hingga 15 Jun 2015 dan dilaporkan dalam Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1MDB.

“Laporan ini disahkan pihak kumpulan 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC selama dua hari iaitu 9 Julai 2015 dan 10 Julai 2015,” katanya.

Nor Salwani memberitahu mahkamah pengauditan itu diteruskan hingga 31 Oktober 2015.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 5:45am
d