mutakhir

Promosi judi pun mereka buat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

HOTEL bajet di Jalan Kenari 6, Bandar Puchong Jaya di Puchong diserbu polis selepas didapati menjadi pusat mempromosi kegiatan judi dalam talian yang beroperasi dalam 10 bilik di hotel berkenaan hari ini.

Dalam serbuan kira-kira 4 pagi itu, sebanyak 197 mesin pelayan merangkap mesin ‘blaster’ (penyebar) khidmat pesanan ringkas (SMS) ditemui dalam sebahagian bilik berkenaan selain 156 kad sim.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, lapan lelaki warga China berusia antara 25 hingga 35 tahun yang berperanan menguruskan mesin pelayan berkenaan ditahan dalam serbuan itu.

“Siasatan mendapati mesin pelayan itu berfungsi untuk menyebarkan SMS yang mempromosi kegiatan judi kepada pemilik telefon bimbit secara automatik.

“SMS berkenaan disebarkan secara rawak ke telefon bimbit yang berada dalam radius lima hingga lapan kilometer dari lokasi hotel ini,” katanya pada sidang media di lokasi hari ini.

Fadzil berkata, siasatan juga mendapati sindiket judi berkenaan dipercayai baru beroperasi antara dua hingga empat minggu lalu di hotel berkenaan.

“Ini adalah serbuan terbesar terhadap pusat promosi judi dalam talian oleh polis Selangor setakat ini dan ia juga kali pertama kami mengesan sindiket judi menggunakan hotel sebagai pusat kegiatan.

“Setakat ini, kami masih menyiasat pembabitan pihak hotel dengan sindiket terbabit,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati lapan suspek yang ditahan mempunyai dokumen perjalanan sah, namun semakan lanjut akan dilakukan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mempromosikan kegiatan perjudian,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 12:06pm
d