mutakhir

Suspek kes bunuh kelindan diburu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS buru dua lelaki dipercayai terbabit kes bunuh seorang kelindan lori di sebuah taman permainan di Batu Caves, Gombak, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira 10 malam.

“Isteri kepada mangsa berusia 40 tahun memberitahu menerima panggilan daripada rakan yang memaklumkan suaminya cedera di lokasi terbabit.

“Sebaik tiba di lokasi, isteri mangsa mendapati lelaki itu dalam keadaan parah dan mempunyai banyak kesan luka dipercayai akibat dipukul lalu menghantarnya ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan namun, lelaki itu disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Fadzil berkata, siasatan awal mendapati mangsa ada berselisih faham dengan suspek.

“Berdasarkan beberapa keterangan daripada saksi, mangsa dikatakan ada memaki hamun suspek dengan kata-kata kesat dan lucah. Kami mengesyaki kejadian (maki hamun) itu mungkin menjadi motif kejadian ini.

“Justeru, kami sedang memburu dua suspek yang sudah dikenal pasti identiti mereka untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 12:29pm
d