mutakhir

'Bumi bergoyang, kami menggelongsor'

Oleh Ibrahim Isa

“TIBA-TIBA bumi bergoyang dan kami menggelongsor kira-kira dua meter ke bawah,” kata pemilik gerai di Jalan Mutiara Emas 5/15, Taman Mount Austin di Johor Bahru, Abd Wahid Sarman, 48, yang menceritakan kejadian tanah runtuh ketika sedang berniaga pagi semalam.

Menurutnya, dia bersama isteri menyediakan sarapan manakala tiga pelanggan termasuk seorang wanita mengandung berada di gerainya itu dalam kejadian pada 7.50 pagi.

Katanya, tiba-tiba terdengar bunyi kuat menyebabkannya melihat ke bahagian bawah gerai.

“Saya dapati tiang kayu yang menahan gerai mula senget tetapi tidak menyangka apa-apa menyebabkan saya kembali ke gerai untuk membantu memasak.

“Bagaimanapun, tiba-tiba terasa bagaikan gempa bumi dan gerai menggelongsor ke bawah menyebabkan semua yang ada terduduk di lantai.

“Alhamdulillah, semua pelanggan terutama wanita mengandung tidak mengalami sebarang kecederaan kecuali terkejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dia terus mendapatkan tangga aluminium dan meminta pelanggan wanita mengandung serta isterinya memanjat ke tebing sebaik gerainya itu berhenti menggelongsor.

Katanya, ia adalah kejadian kali pertama sejak berniaga di kawasan itu kira-kira 16 tahun lalu dan bersyukur tiada sebarang kecederaan dialami mereka terutama pelanggan.

“Walaupun saya anggarkan mengalami kerugian hampir RM10,000 dalam kejadian itu, saya reda dan bersyukur kerana pelanggan dan isteri tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Wanita yang mengandung itu diberikan rawatan awal selepas ambulans dipanggil ke sebelum dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Saya difahamkan, dia dan kandungannya sihat.

“Buat masa ini, saya masih belum berniaga dan akan mencari tapak baru di kawasan berhampiran tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya Kamarulzaman Salleh berkata, menerima panggilan kecemasan pada 8 pagi sebelum lapan anggota membabitkan satu jentera dikejarkan ke lokasi dan menerima bantuan sembilan anggota dan satu jentera dari BBP Tebrau.

“Apabila tiba, kami dapati semua pelanggan dan peniaga sudah diselamatkan orang ramai, pelanggan yang mengandung berusia 36 tahun diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 8.50 pagi,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 12:57pm
d