mutakhir

IPG tidak akan ditutup

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

INSTITUT Pendidikan Guru (IPG) tidak akan ditutup. Itu jelas Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pada sesi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Nie Ching memaklumkan, pengambilan pelajar di IPG berjalan seperti biasa malah, ia sudah dilakukan pada pertengahan tahun, baru-baru ini.

“Pengambilan baharu pelajar di IPG berjalan seperti biasa dan ia dilaksanakan pertengahan tahun,” katanya.

Beliau mengulas perkara itu ketika menjawab persoalan dikemukakan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang mahu mendapatkan penjelasan mengenai pengambilan baharu pelajar di IPG.

Menjawab cadangan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) supaya IPG mengendalikan pengajian peringkat sarjana dan kedoktoran, Nie Ching berkata, kementerian tidak bercadang melaksanakan perkara itu.

“Kami mendapati tiada keperluan untuk kementerian berbuat demikian memandangkan institut pengajian tinggi awam dan swasta sedia ada memadai untuk menyediakan tempat bagi guru yang ingin melanjutkan pengajian pada peringkat berkenaan,” katanya.

Katanya, peranan itu sudah dimainkan oleh IPTA dan IPTS yang sedia ada malah, guru yang berminat melanjutkan pengajian boleh berbuat demikian sama ada di dalam negara atau luar negara.

Dalam pada itu, katanya, pada masa ini, kementerian sedang melaksanakan penyusunan semula pensyarah berdasarkan bidang kepakaran dan keperluan di setiap kampus.

Menurutnya, pergerakan pensyarah sedia ada adalah bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran di kampus IPG yang menawarkan kursus berkaitan boleh dilaksanakan dengan berkesan.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan 21 daripada 27 IPG di seluruh negara dicadang ditutup secara berperingkat mulai tahun depan.

Laporan sama menyebut, hanya enam kampus IPG dikatakan akan terus beroperasi dengan tanggungjawab lebih besar bagi melatih bakal guru diberikan kepada universiti awam.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 2:10pm
d