mutakhir

Premis 'noda' digempur

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEBUAH premis hiburan di Kuah, Langkawi, disyaki menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) selain menawarkan bayaran RM200 untuk dibawa pulang akhirnya digempur anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, hari ini.

Difahamkan, pelanggan boleh membawa pulang GRO berkenaan selepas tamat tugas, malah premis dua tingkat itu dipercayai menjalankan operasi pusat karaoke di tingkat bawah manakala di bahagian atas menggunakan khidmat GRO.

Dalam serbuan selama tiga jam berakhir jam 3 pagi, seramai 32 wanita warga asing iaitu 27 daripadanya warga Thailand dan lima wanita Laos berusia antara 19 hingga 42 tahun ditahan kerana pelbagai kesalahan.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, operasi disertai 16 anggota penguat kuasa JIM diketuai Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasa JIM Kedah, Mohamad Rizal Ramli bersama enam anggota Pasukan Polis Marin (PPM) di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, operasi dilakukan berdasarkan maklumat disalurkan orang awam ramai selain hasil risikan anggota penguat kuasa JIM berhubung penyalahgunaan pas lawatan sosial di pusat hiburan berkenaan.

“Ketika serbuan, terdapat dua pengawal dipercayai menjaga pintu hadapan premis.

“Malah ada juga yang cuba melarikan diri melalui pintu belakang, namun gagal apabila pegawai penguat kuasa berjaya mengepung premis lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, turut dirampas resit bayaran pelanggan dan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, wanita warga asing disyaki melakukan aktiviti tidak bermoral itu menerima bayaran RM200 bagi setiap pelanggan untuk dibawa pulang selepas selesai tugas di premis berkenaan.

“Kita melakukan pemeriksaan awal terhadap 68 wanita warga asing, namun hanya 32 daripadanya ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dikenal pasti ialah melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya.

Berikutan itu, semua ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum dihantar ke Depot Imigresen Belantik, Sik.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 3:40pm
d