mutakhir

Philip Morris lancar kempen 'Dunia Anda Bebas Asap'

Oleh Amir Abd Hamid

PHILIP Morris Malaysia (PMM) Sdn Bhd, anak syarikat Philip Morris International (PMI) melancarkan kempen ‘Dunia Anda Bebas Asap’ (Unsmoke Your World).

Ketua Komunikasi Korporatnya, Veronica Choo berkata, mesej ingin disampaikan menerusi kempen itu adalah mudah iaitu ‘jika tidak merokok jangan mulakan, jika merokok berhenti, jika tidak boleh berhenti merokok maka ubah’.

Menurutnya, ramai bertanyakan apa dimaksudkan dengan ubah itu dan penjelasan boleh diberikan ialah perokok yang gagal berhenti merokok sewajarnya mencari alternatif kurang mudarat untuk menggantikan tabiat itu.

“Sehingga kini, syarikat sudah membelanjakan USD 6 bilion (RM25 bilion) untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan alternatif kepada perokok.

“Lebih 400 saintis dan doktor bekerja keras di ibu pejabat menempatkan R&D untuk berusaha melaksanakan transformasi selain peneraju teknologi bebas asap rokok abad ke- 21.

“Pilihan terbaik kepada perokok tentulah kena berhenti pengambilan tembakau dan nikotin sekali gus atau jika tidak carilah alternatif kurang mudarat. Harap masyarakat dapat memahaminya,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran kempen itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengenai kempen itu juga, Veronica berkata, PMM berkolaborasi dengan jurugambar ikonik iaitu SC Shenkar, David Lok dan Nadirah Zakariya untuk memberi peluang kepada mereka berkongsi pandangan daripada sudut karier selain pameran hasil seni.

Bagi Nadirah, beliau menggambarkan keindahan sekiranya setiap batang rokok digantikan dengan bunga membawa mesej dunia menjadi lebih selesa untuk didiami.

“Saya gunakan bunga sebagai metafora visual. Inspirasi saya untuk projek ini adalah menggantikan rokok dengan sesuatu yang lebih indah,” katanya.

Sementara itu. David berkata, walaupun pada mulanya agak skeptikal untuk terbabit dalam kempen ini yang disifatkan kontradik dengan syarikat pengeluar rokok, namun dia berubah fikiran selepas dijelaskan PMM.

“Dalam bidang saya sebagai jurugambar komersial juga memang dah kerap buat kempen anti merokok tetapi ini lain sebab datangnya daripada syarikat pengeluar rokok, bermakna adalah harapan kita.

“Saya dapati ia langkah baik, mungkin langkah kecil untuk sektor perkilangan rokok tetapi tetap positif untuk kesihatan semua orang ke arah lebih baik,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 3:59pm
d