mutakhir

Balasan curi rantai leher, loket ibu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

WANITA dijatuhi hukuman penjara 11 bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana mencuri rantai leher dan loket milik ibunya bernilai RM26,000.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Nor Azniza Abdul Ghani, 32, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana curi dalam bangunan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja didakwa mencuri rantai dan loket emas milik Nafisah Abdullah, 62, di sebuah rumah di Jalan Taman Sinar Harapan, Bukit Besar, Kuala Terengganu pada 8 pagi 18 November lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 380 KK, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa mendapati barang kemas iaitu rantai leher dan loket miliknya bernilai RM26,000 hilang dan mengesyaki ia diambil tertuduh.

Ini kerana tertuduh ada masuk ke dalam biliknya pada 10 malam pada 17 November lalu untuk bertanya mengenai rantainya yang dijanjikan akan dibeli mangsa.

Pada hari kejadian, tertuduh ada memaklumkan kepada salah seorang ahli keluarganya yang dia mahu melarikan diri kerana mempunyai wang banyak.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 5:45pm
d