mutakhir

Menteri tinjau 'kereta terbang'

Oleh Suraya Roslan

MESKIPUN ujian penerbangan UAS E-Hang 216 (EH216) atau ‘kereta terbang’ dibatalkan, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof tetap turun meninjau Super Drone atau ‘manned aerial vehicle’ di Subang hari ini.

Menteri itu menerima jemputan daripada usahawan tempatan, Eastcap Berhad yang bekerjasama dengan syarikat luar negara membawa dron itu.

Pejabat Setiausaha Akhbar kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, lawatan tertutup (private viewing) ke atas usahawan seperti itu adalah amalan biasa dijalankan oleh kementerian dan agensi bagi melihat dengan lebih dekat kemampuan usahawan.

“Sebagaimana yang banyak dilaporkan oleh media sebelum ini, Kementerian juga memberikan sokongan dan fasilitasi berkaitan kepada beberapa projek dron dan air mobility yang dijalankan oleh syarikat tempatan dan luar negara.

“Projek seperti ini dapat menggalakkan lagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri aeroangkasa dan air mobility menerusi usaha sama antara syarikat tempatan dan syarikat antarabangsa,” katanya.

Kenyataan itu menjelaskan, ia adalah inisiatif swasta (private driven initiative) yang tidak membabitkan sebarang implikasi kewangan kepada Kerajaan.

“Kementerian yang menerajui pembangunan keusahawanan akan terus menyokong dan memudah cara pembangunan usahawan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berinovasi tinggi.

“Ia selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) di bawah Teras Strategik 5 untuk memperluas sektor berpotensi utama dalam industri pertumbuhan tinggi seperti aeroangkasa, automotif, rel, tenaga boleh diperbaharui, peranti perubatan, bioteknologi dan industri halal.

“Kementerian akan sentiasa menjalinkan kerjasama secara berterusan dengan pemain industri tempatan dan antarabangsa bagi mencapai objektif yang disasarkan di bawah DKN 2030,” katanya.

Ketika tinjauan itu, Redzuan juga menerima penerangan mengenai perancangan syarikat itu untuk melabur di Malaysia bagi membangunkan fasiliti pemasangan ‘manned aerial vehicle’ sebanyak 10,000 unit setahun dengan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan untuk pasaran eksport.

Sebelum ini CAAM dalam kenyataan menegaskan pihaknya tidak meluluskan ujian penerbangan hari ini berikutan lokasi percubaan penerbangan di Hangar UNIKL MIAT Subang adalah kurang 200 meter dari laluan trafik pesawat dan helikopter komersial.

Berita berkaitan

Kereta terbang: Itu bidang kuasa CAAM

Kereta terbang tak jadi 'terbang' esok

Kereta terbang: Menteri kena sindir

Kereta terbang dipandu uji, Khamis ini

'Khamis ni, saya naik kereta terbang'

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 6:43pm
d