mutakhir

Luluh hati melihat mayat ayah

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

“SEBAIK tiba di lokasi kemalangan, saya terduduk melihat sekujur tubuh yang sudah ditutup dengan sehelai kain,” kata Rodey Hamzah, 35, anak kepada mangsa kemalangan maut di Jalan Wakaf Che Yeh di Kota Bharu, hari ini.

Kejadian 12 tengah hari mangsa, Hamzah Ali, 61, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal Suzuki Smash yang ditunggang mangsa berlanggar dengan kereta Perodua Bezza yang dipandu seorang wanita.

Menurut Rodey, dia mengetahui insiden yang menimpa arwah ayahnya daripada isterinya, Azizah Mohd Hassan, 34, kira-kira 12.45 tengah hari.

Katanya, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia yang pada ketika itu berada di tempat kerja di Ketereh bergegas ke lokasi untuk melihat keadaan ayahnya.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi kemalangan, hati saya berasa sangat luluh apabila melihat ayah sudah ditutupi dengan kain.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya dan menerima ketentuan dari Yang Maha Esa kerana sebagai hamba perlu kami menerima suratan takdir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rodey berkata, arwah ayahnya sebelum ini tidak menunjukkan perubahan atau tanda pelik sehinggalah mengetahui kemalangan yang berlaku sehingga meragut nyawanya.

“Jenazah ayah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Wakaf Che Yeh selepas solat Isyak malam ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 7:11pm
d