mutakhir

Tak baik mencarut YB...

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

SESI penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terpaksa dihentikan hampir lima minit gara-gara hamburan perkataan kesat dan lucah oleh beberapa ahli Parlimen.

Kekecohan timbul ketika Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad menjawab mengenai projek terbengkalai di Negeri Sembilan.

Insiden bermula selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun dan mencelah penggulungan sambil menyalahkan kerajaan terdahulu kerana tidak membina Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di kawasan Parlimennya.

Sejurus selepas itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang kemudian bangun dan mengasak Rayer sebelum masing-masing mengeluarkan perkataan kesat.

Keadaan itu memaksa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mematikan mikrofon bagi mengelak perkataan itu didengari dengan jelas.

“Saya nak minta semua tarik balik perkataan cabul, p******, penipu, biawak, sial, babi dan kurang ajar... saya dengar dan saya catit.

“Saya tak on (buka) mic (pembesar suara) ini, kalau saya on (buka) semua perkataan itu saya catit.

“Saya catit semuanya tapi saya kasihan tengok ahli Yang Berhormat (YB)... kalau saya on (buka) masuk dalam Hansard (penyata rasmi),” katanya.

Keadaan kembali reda beberapa minit kemudian sebelum Raja Kamarul Bahrin meneruskan sesi penggulungan.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 9:15pm
d