mutakhir

Yazid dipakaikan EMD, 2 tahun dalam pantauan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

RAKYAT Malaysia Yazid Sufaat yang dibebaskan dari penjara selepas tempoh tahanannya tamat, dipakaikan peranti pemantauan elektronik (EMD) bagi memantau pergerakan.

Anggota militan Jemaah Islamiah (JI) itu juga berada dalam pengawasan polis selama dua tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Katanya, Yazid dibebaskan selepas Lembaga Pencegahan Keganasan Malaysia mengadakan pertemuan pada pertengahan November lalu untuk membincangkan hal itu.

“Dia selesai menjalani hukuman mengikut Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan ketika ini berada di Ampang.

“Sekiranya Yazid berhasrat keluar dari Ampang, dia perlu memaklumkannya kepada Ketua Polis Daerah Ampang.

“Dia juga dibenarkan menggunakan telefon namun, dilarang memiliki akses Internet,” katanya.

Ayob berkata, Yazid juga tidak dibenarkan keluar rumah antara 8 malam hingga 6 pagi tetapi, bebas menerima pengunjung.

“Selepas dua tahun, pihak berkuasa akan menilai semula segala-galanya sebelum membuat keputusan,” katanya.

Yazid, 55, yang mempunyai kaitan langsung dengan serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor, selama dua tahun di bawah POTA.

Sistem EMD, antara lain, membolehkan polis dimaklumkan sekiranya individu yang dipakaikan alat itu cuba melarikan diri atau melakukan sesuatu kepada alat berkenaan.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 10:00pm
d