mutakhir

Tiga cemerlang

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

SEORANG murid pendidikan khas membuktikan dirinya juga boleh cemerlang seperti kanak-kanak normal apabila mencatat keputusan Kompeten Terpuji dalam tujuh subjek menerusi Pelaporan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PPASR) 2019.

Murid berkenaan, Haris Mustafa Abdul Karim, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SL) Datu’ Hashim, Pengkalan Chepa membuktikan masalah autisme dihidapinya sejak kecil tidak menjadi penghalang untuknya berjaya.

Haris Mustafa yang juga anak kedua daripada tiga beradik berkata, dia tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang seperti murid normal lain.

Katanya, dia juga mengulang kaji pelajaran seperti murid lain kerana perlu membentangkan subjek di hadapan guru dan melakukan praktikal di dalam serta luar sekolah.

“Walaupun autisme, saya mahu membuktikan juga mampu berjaya dan mencapai cita-cita menjadi cef pada masa akan datang.

“Ketika di kelas, saya melakukan praktikal termasuk memasak dengan rakan-rakan dan guru serta menjual hasil itu kepada orang ramai,” katanya di sekolahnya di Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Seorang lagi calon Pencapaian Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR), Dine Amilie Mohd Fakharuddin, 12, gembira memperoleh keputusan 6A.

Katanya, untuk mendapatkan keputusan itu dia bersama rakan baik, Adila Nor Azni, 12, yang turut memperoleh 6A sentiasa melakukan solat Dhuha di surau sekolah, selain solat hajat di rumah.

“Selain itu, fokus dalam kelas dan bertanya kepada guru sekiranya tidak faham juga menjadi kunci kepada kejayaan ini.

“Saya dan rakan kerap mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan bagi membincangkan semula subjek yang diajar guru,” katanya yang tinggal di Jalan Impian, Pengkalan Chepa.

Anak ketiga daripada empat beradik kepada pesara tentera, Mohd Fakharuddin Mohd Yusoff, 52, dan guru, Mazini Yakob, 43, itu berkata, dia juga berkorban apabila hanya tidur selama empat jam sehari, dua minggu selepas PPSR.

Sementara itu, Guru Besar SK Datu’ Hashim, Hamidah Che Abdul Hamid berkata, lapan calon memperoleh 6A manakala tiga murid pendidikan khas mencatat keputusan Kompeten Terpuji.

Katanya, sekolah berkenaan mempunyai 196 calon termasuk tujuh murid pendidikan khas.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 5:00am
d