mutakhir

Anugerah khas

Oleh Amir Mamat

UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan memperkenalkan Anugerah Khas TUAH sempena istiadat konvokesyen kali ke-15 yang berlangsung pada 30 November hingga 3 Disember ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Wira Dr Raha Abd Rahim berkata, anugerah julung kali diperkenalkan itu sangat istimewa bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada penuntut yang dikenal pasti mempunyai semua atribut definasi Tangkas, Unggul, Adaptif dan Holistik (TUAH).

Selain itu, katanya, penuntut perlu mempunyai pencapaian akademik profil yang mantap, mempunyai semangat kesukanan dan kesukarelaan tinggi serta menonjolkan ciri kepemimpinan dan keberanian jitu.

“Anugerah itu dapat menggalakkan penuntut untuk terbabit lebih aktif dalam aktiviti luar lingkup universiti dan diangkat sebagai ikon kepada penuntut lain.

“Ia juga mampu menyemai nilai keutamaan yang diterapkan Kementerian Pendidikan iaitu kasih sayang, kegembiraan, saling menghormati dan kemanusiaan.

“Penerima tunggal Anugerah Khas TUAH itu bakal menerima sijil, pingat dan cek bernilai RM2,000,” katanya pada sidang media pengumuman Majlis Konvokesyen Ke-15 UTeM di pejabatnya di Durian Tunggal di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof Datuk Dr Mohd Razali Muhamad dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap.

Sementara itu, Raha berkata, 53 peratus daripada 2,993 penuntut yang akan bergraduasi pada konvokesyen itu terdiri daripada graduan aliran berteraskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 21 graduan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), seorang Ijazah Doktor Kejuruteraan, 240 Ijazah Sarjana, 2,245 Ijazah Sarjana Muda dan 486 Diploma.

“Istiadat akan berlangsung selama dua hari membabitkan empat sesi di di Dewan Canselor UTeM,” katanya.

Pada majlis itu juga, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Syed Hussian Syed Junid akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Teknologi Kejuruteraan yang dijadual kan disampaikan Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Sempena konvensyen itu, UTeM akan menganjurkan Pesta Konvo ke-15 juga akan diadakan di Tapak Pesta Konvo UTeM selama empat hari bermula 30 November dengan pelbagai program diadakan termasuk gerai jualan makanan, bunga, pakaian, aktiviti sukan dan rekreasi serta persembahan artis tempatan.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 6:00am
d