mutakhir

Ejen didakwa salah guna wang insurans

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

EJEN insurans didakwa di Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang tunai pembayaran insurans milik pelanggannya untuk kegunaan sendiri pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Kristof Joseph, 58, yang juga bekas anggota polis mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu sebaik dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Bagi pertuduhan pertama, Kristof didakwa menyalahgunakan wang tunai insurans untuk kegunaan sendiri yang berjumlah RM56,000 milik Lam Siew Ling, 43, pada 11.30 pagi, 15 Ogos 2017.

Untuk pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan kesalahan sama dengan jumlah wang yang sama milik Siew Ling pada jam 2.30 petang, 8 September 2017.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di KJ Agency, No 67 Jalan Taming Sari, Taiping.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Kristof didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Raihan Rithwan manakala tertuduh diwakili peguam P Ravee.

Mohd Hairol kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Kes berkenaan akan disebut semula pada 16 Disember ini.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 11:10am
d