mutakhir

Ahli perniagaan lepas, bebas edar methamphetamine [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

AHLI perniagaan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 8,736.76 gram (g) methamphetamine oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di Georgetown hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan di akhir kes pendakwaan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie ke atas kes.

Tertuduh Ong Tong Chuan, 47, yang memakai baju biru lusuh kelihatan sebak sebaik mendengar keputusan itu.

Ahmad Shahrir ketika membacakan penghakimannya mendapati pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kesemua dadah yang terdapat di dalam kedai lokasi tertuduh ditahan adalah miliknya.

Menurutnya, keterangan saksi pendakwaan selepas disoal balas peguam juga membuktikan bahawa kesemua bekas bungkusan dadah itu sudah berada di situ ketika tertuduh diberkas polis.

Katanya, selain itu mahkamah juga dimaklumkan bahawa bungkusan bekas silinder yang mengandungi kesemua dadah ditemui juga tidak mempunyai cap jari tertuduh.

“Walaupun pihak pendakwaan berjaya memperoleh profil tertuduh pada puntung rokok tetapi mereka gagal mengemukakan lokasi puntung rokok itu diperoleh.

“Oleh yang demikian selepas mengambil kira keterangan saksi, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh.

“Oleh itu mahkamah membuat keputusan untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada semua pertuduhan,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 8,736.72 g pada 10.40 pagi, 13 Januari 2013 di sebuah kedai pajak gadai di Taman Usahaniaga, Bukit Mertajam.

Lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh diwakili Datuk Ranjit Singh Dhillon manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkifli.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 2:51pm
d