mutakhir

Wajar rombak Kabinet - MB Kelantan

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad wajar membuat rombakan Kabinet berikutan kekalahan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, baru-baru ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kekalahan pada PRK itu menjadi isyarat daripada rakyat bahawa mereka sudah tidak yakin dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

Katanya, barisan Kabinet sedia ada dilihat tidak banyak membantu kerajaan dan Perdana Menteri mempunyai hak melakukan perkara itu.

“Bagi saya sudah tiba masanya Perdana Menteri melakukan rombakan semula supaya Kabinet menjadi lebih baik dan kukuh pada masa akan datang.

“Kita melihat ahli Dewan Rakyat terutama dalam kalangan menteri tidak berminat masuk ke dewan. Bukan semua menteri, ada sebahagian mereka tidak datang menjawab soalan, tetapi beri tugas kepada timbalan menteri mungkin kerana pihak pembangkang kerap mempersoalkan mereka berhubung manifesto dijanjikan terutama hal berkaitan anak muda.

“Saya rasa perkara ini antara difikirkan Perdana Menteri sebelum membuat keputusan merombak Kabinet,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir kelmarin, yang membayangkan akan melakukan rombakan Kabinet sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun depan.

Ditanya mengenai Kelantan menjadi antara tujuh negeri belum bersetuju untuk meminda enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun, Ahmad berkata, tiada pembaharuan akan dilakukan.

“Ikut keputusan lama (had usia perkahwinan iaitu 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun untuk lelaki) dan kita tidak buat pembaharuan dan pembaikan,” katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 3:32pm
d