mutakhir

Peguam Negara lantik peguam lain wakili diri?

Oleh Sarah Zulkifli

PEGUAM Negara, Tan Sri Tommy Thomas melantik dua peguam swasta bagi mewakili beliau dalam rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan mahkamah membenarkan memulakan prosiding komital (menghina mahkamah) yang difailkan bapa Muhammad Adib Mohd Kassim.

Dua peguam itu adalah Zainur Zakaria dan Datuk S Ambiga bersama dua lagi Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy serta Markiranjit Kaur mewakili Peguam Negara ketika prosiding di hadapan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Peguam Mohammed Haniff Katri Abdulla yang mewakili bapa Muhammad Adib berkata, walaupun Peguam Negara mempunyai budi bicara mutlak dalam pelantikan peguam swasta, namun pihaknya memohon Mahkamah Tinggi merekodkan bahawa anak guamnya tidak mempersoalkan kebolehan dan kompetensi pegawai di Pejabat Peguam Negara.

“Mereka (pegawai di Pejabat Peguam Negara) sebenarnya berhak mengendalikan segala prosiding tanpa keperluan pelantikan mana-mana peguam swasta,” katanya kepada pemberita dan memaklumkan mahkamah sudah merekodkan makluman itu di awal prosiding.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 November ini sebagai tarikh keputusan permohonan bapa Muhammad Adib untuk membatalkan rayuan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Koroner yang membenarkan prosiding komital dimulakan.

Pada 27 Ogos lalu, Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan membenarkan prosiding komital itu didengar sebelum Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap keputusan itu, dua hari kemudian.

Pada 16 Julai lalu, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, memfailkan permohonan perintah komital kepada Peguam Negara kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 4:20pm
d