mutakhir

'Hujan sejam je kena pindah...'

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

“HUJAN sejak petang semalam menyebabkan bahagian dapur dinaiki air setinggi satu meter sebelum kami diminta berpindah,” kata Mohd Kamarulzaman Udin dari Wakaf Tapai, Marang.

Mohd Kamarulzaman, 35, antara 28 mangsa banjir daripada lapan keluarga termasuk 13 kanak-kanak yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sivik Wakaf Tapai bermula 3 pagi hari ini.

Menurut Mohd Kamarulzaman, air naik terlalu cepat berikutan hujan berterusan sejak petang semalam.

“Kawasan ini memang kerap dinaiki air apabila hujan. Biasanya, kawasan rumah dinaiki air jika hujan berterusan selama satu jam berikutan masalah perparitan.

“Pada mulanya, isteri dan ahli keluarga lain berpindah ke PPS sementara saya memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi sebelum bergerak ke PPS.

“Jika musim tengkujuh, PPS boleh dianggap seperti rumah kedua kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai, hari ini.

Mangsa lain, Sulaini Mat Zin, 65, berkata rumahnya mula dinaiki air pada 9 malam.

“Ketika mahu tidur, anak beritahu air naik hingga ke paras lutut.

“Selepas itu, kami mula bersiap-siap untuk berpindah ke PPS pada 11 malam,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Wakaf Tapai, Maliki Ismail berkata, semua mangsa berpindah ke PPS secara berperingkat bermula 3 pagi selepas kawasan kediaman mereka dinaiki air setinggi satu meter.

“Kawasan itu sering dinaiki air jika hujan tanpa henti lebih satu jam.

“Penduduk diingatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan segera berpindah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Marang menjadi daerah kedua dilanda banjir selepas bencana itu melanda Hulu Terengganu pada minggu lalu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kategori jingga di daerah Kemaman manakala amaran kategori waspada diperluaskan ke daerah di utara Terengganu sehingga Ahad ini.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 7:45pm
d