mutakhir

PLUS rangkul enam anugerah

Oleh Mohamad Hussin

SYARIKAT konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merangkul enam anugerah emas dan perak sempena Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

PLUS memenangi empat hadiah emas bagi kategori Anugerah Teknologi, Anugerah Komunikasi Pekerja, Anugerah Penjenamaan Korporat dan Anugerah Penggunaan Digital Terbaik.

Dua hadiah perak bagi kategori Anugerah Sektor Awam dan Anugerah Penggunaan Digital Terbaik.

Ketua Komunikasi Korporat, Perhubungan Komuniti dan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata, pihaknya baru pertama kali menyertai pertandingan itu selepas 30 tahun syarikat konsesi itu beroperasi.

Beliau berkata, kemenangan itu sangat bermakna buat warga PLUS dan akan menjadi pembakar semangat kepada seluruh warganya untuk bekerja dengan lebih gigih bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna lebuh raya itu.

“PLUS menghantar lapan penyertaan dalam pertandingan itu namun bersyukur kerana kita dapat memenangi enam anugerah.

“Penganjur hanya memberi masa sebulan untuk menghantar penyertaan. Bagaimanapun, kerjasama semua pihak ia dapat disiapkan dalam tempoh tiga hari.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail yang memberi komitmen sepenuhnya hingga berjaya,” katanya ditemui selepas Anugerah Perhubungan Awam Malaysia 2019 itu.

Majlis perasmian disempurnakan Presiden Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA) Malaysia Andy See Teong Leng.

Pada majlis itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memenangi emas bagi Anugerah Krisis atau Pengurusan Isu dan Anugerah Kempen Tahun Ini.

Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia memenangi gangsa bagi Anugerah Teknologi dan Anugerah Penjenamaan Korporat manakala Astro Awani memenangi Anugerah Kepimpinan PRCA 2019.

Sementara itu Andy See berkata, pihaknya menerima 69 penyertaan membabitkan 14 kategori sepanjang pertandingan itu diadakan sempena ulang tahun PRCA yang ke-20.

Katanya, industri perhubungan awam dan komunikasi amat penting bagi mempromosikan pertumbuhan dan amalan terbaik bagi meningkatkan ekonomi organisasi.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 12:32am
d