mutakhir

Mangsa banjir di Terengganu meningkat [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

MANGSA di Terengganu meningkat kepada 296 orang daripada 78 keluarga sehingga jam 8 pagi ini.

Semua mangsa ditempatkan di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Dewan Sivik Wakaf Tapai dan Sekolah Kebangsaan Tasek di Marang; Balai Raya Kampung Padang Kubu; Balai Raya Kampung Batu 9, Ibok; Darul Iman Training Center (DITC) Teluk Kalong dan Dewan Orang Ramai Teladas di Kemaman.

Kemaman menjadi daerah terbaru dilanda banjir apabila empat PPS dibuka secara berperingkat bermula antara 4 petang hingga 11.40 malam tadi bagi menempatkan 261 mangsa daripada 68 keluarga.

Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, seramai 169 mangsa daripada 41 keluarga ditempatkan di PPS DITC Teluk Kalong selepas Kampung Teluk Kalong dinaiki air.

“Selain itu, 18 keluarga membabitkan 60 mangsa ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Padang Kubu; 21 mangsa (enam keluarga) di PPS Balair Raya Kampung Batu 9 dan seramai 11 mangsa ditempatkan di Dewan Orang Ramai Teladas.

“Di Marang, terdapat seramai 35 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di dua PPS,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran cuaca kategori jingga di Kemaman manakala amaran kategori waspada diperluaskan ke daerah di utara Terengganu sehingga esok.

Sementara itu, dua sungai di negeri ini kini berada di paras berjaga-jaga iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu yang mencatatkan bacaan 19.91 meter dan Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun (20.06 meter).

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 8:56am
d