mutakhir

Melaram motosikal curi

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

PENGANGGUR sempat melaram dengan motosikal dicurinya sebelum ditahan polis di Tali Air 10, Pasir Panjang di Sekinchan dekat Sungai Besar pada Selasa lalu.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam kira-kira 10 pagi hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, berdasarkan maklumat suspek didakwa melarikan sebuah motosikal Yamaha Lagenda di sebuah rumah di Parit Lima Barat pada 3 pagi, Isnin lalu.

Menurutnya, pemilik motosikal berusia 28 tahun mendakwa ternampak suspek melarikan motosikal yang parkir di bawah rumahnya.

“Mangsa menyedari bunyi pelik di bawah rumah dan kemudiannya melihat melalui tingkap rumah mendapati suspek sedang membawa lari motosikalnya,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Menurutnya, susulan itu pihaknya menjalankan gerakan mengesan suspek sebelum mengesannya menggunakan motosikal terbabit pada Selasa.

Katanya, ketika ditahan polis turut menemui set anak kunci motosikal daripada suspek.

“Semakan polis mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau jenayah dan narkotik manakala ujian saringan awal air kencing mendapatinya negatif dadah.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 12:19pm
d