mutakhir

Lelaki mati jatuh bangunan

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

LELAKI ditemui mati dipercayai selepas terjatuh dari apartment di Taman Tun Teja, Rawang hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada 4.30 pagi.

Menurutnya, anggota polis yang ke lokasi menemui mayat lelaki itu di lokasi dalam posisi telungkup dan mengalami kecederaan di kepala.

Katanya, mangsa memakai baju warna hitam serta berseluar pendek coklat selain memakai sandal.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati lelaki berkenaan adalah warga tempatan berusia 23 tahun dan sehingga kini belum dapat dipastikan lagi mangsa jatuh dari tingkat berapa.

“Hasil pemeriksaan tiada sebarang unsur mencurigakan di setiap tingkat balkoni di tempat kejadian. Balkoni bangunan setinggi sembilan tingkat ini adalah kawasan terbuka,” katanya.

Menurutnya, keluarga mangsa sudah dikesan dan hasil temubual mendakwa mangsa tiada sebarang masalah keluarga atau perkara mencurigakan.

Katanya, mangsa dan keluarganya bukan penduduk di kawasan berkenaan sebaliknya tinggal di taman perumahan berhampiran.

Arifai berkata, mayat lelaki itu kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk proses bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta berhubung dengan Ketua Polis Balai Rawang Inspektor Mohd Nasmi Yaacob di talian 03-60916222/017-9068571.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 2:15pm
d