mutakhir

Lapan anggota PGA dibuang kerja

Oleh Aizat Sharif

EMPAT belas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) didapati terbabit dalam rakaman klip video membenarkan penyeludup memindahkan barang seludup di sempadan Thailand-Malaysia di Padang Besar pada 2017, sudah diambil tindakan termasuk dibuang kerja.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, susulan daripada video didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu itu, siasatan dalaman sudah dijalankan serta anggota terbabit dalam kejadian itu dikenal pasti serta diambil tindakan.

“Sebenarnya, walaupun video itu dirakam pada 2017, kami sudah mengambil tindakan terhadap anggota PGA terbabit termasuk lapan daripadanya dibuang kerja, lima diturunkan pangkat manakala seorang dikenakan tindakan lain.

“Kami menerima laporan berkaitan siasatan dan menjatuhkan hukuman kepada anggota terbabit dan anggota dibuang kerja itu sudah meninggalkan perkhidmatan ini dua minggu lalu.

“Kami tidak akan sesekali berkompromi serta memandang ringan terhadap kejadian berlaku terutama di kawasan sempadan Malaysia-Thailand ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media susulan kejayaan Op Wawasan Kedah/Perlis di Markas Taktikal (MARTAK) PGA Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan Op Wawasan Kedah/Perlis dijalankan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Perlis dan Kedah selama sebulan bermula 15 Oktober lalu, Abdul Ghani berkata, sebanyak 7.8 tan daun ketum dirampas membabitkan nilai keseluruhan RM1.17 juta.

Beliau berkata, anggota PGA ditugaskan dalam ip berkenaan berjaya merekodkan 35 tangkapan dan rampasan membabitkan pelbagai jenis kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963, Akta Racun 1952, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Kastam dan Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Selain itu, 49 individu termasuk 26 daripadanya warga asing berusia antara 30 hingga 40-an ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk menyeludup daun ketum serta barangan lain, memasuki negara ini secara haram dan pelbagai kesalahan lain.

“Dalam tempoh itu, satu pos kawalan PGA di kawasan PB 19 diserang menggunakan mercun roket dari arah Thailand berikutan tindakan pembanterasan agresif dilaksanakan pasukan berkenaan.

“Akibat serangan itu, pos kawalan itu rosak sedikit, tetapi tiada kecederaan serta kemalangan jiwa berlaku dan kami percaya serangan dilakukan sindiket penyeludup yang tidak berpuas hati atas penguat kuasaan sedang dilakukan sehingga menyebabkan aktiviti penyeludupan mereka terganggu dan gagal,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim, Superintendan Md Dali Jamil dan Pegawai Pemerintah Ops Wawasan Kedah/Perlis, Superintendan Abdul Aziz Abdullah.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 5:44pm
d