mutakhir

Kompaun pengotor di Teluk Cempedak

Oleh Asrol Awang

TIGA puluh sembilan individu dikompaun membabitkan jumlah sebanyak RM3,900 atas kesalahan membuang sampah di pantai peranginan Teluk Cempedak di Kuantan.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Norkamawati Kamal berkata, kompaun itu dikeluarkan dalam Operasi Anti Litter yang dijalankan bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sejak Oktober hingga kelmarin.

Menurutnya, setakat ini 20 individu sudah menjelaskan kompaun itu manakala bakinya masih gagal berbuat demikian.

“Tindakan itu dilakukan mengikut Seksyen 47(1)Akta 133 Akta Kerajaan Tempatan bagi memastikan orang ramai tidak membuang sampah di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Operasi itu bertujuan untuk mendidik masyarakat menjaga kebersihan dan memastikan pantai Teluk Cempedak bebas sampah,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah SWCorp Pahang Sharudin Hamid berkata, pihaknya akan memperluaskan lokasi operasi di semua tempat tumpuan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, pelaksanaan itu bagi memastikan kebersihan di Pahang khususnya daerah Kuantan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Kita juga mahu semua kawasan yang menjadi tumpuan di Pahang sentiasa dalam keadaan yang bersih terutama kawasan tumpuan pelancong.

“Ia juga dapat mengubah mentaliti masyarakat supaya lebih prihatin berkaitan kebersihan menjelang pengumuman status bandar raya yang akan diraih Kuantan tidak lama lagi.

“Kita juga akan menggandakan pembabitan masyarakat sedar kepentingan menjaga kebersihan dan berharap masyarakat tidak meletakkan sepenuhnya tanggungjawab kebersihan ini kepada pekerja pembersihan semata-mata.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan menjaga kebersihan dengan cara menegur individu yang meninggalkan sampah di sesuatu lokasi,” katanya

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 6:21pm
d