mutakhir

Bomba Malaysia ketiga terbaik RIP

Oleh Ibrahim Isa

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) muncul ketiga terbaik kategori Rip-It-Of (RIP) selepas menewaskan 10 pasukan lain di Global Fire Fighter and Paramedic Challenge Singapura dari 18 November lalu hingga hari ini.

Pasukan diketuai Muhamad Yassir Adnan, JBPM (Perak) bersama Mohd Hazrizam Hasin (Pahang), Condrad Getruda (Sabah), Kamaruddin Padin (Sarawak) dan Muhamad Suberi Nizzar Shah (Kuala Lumpur) muncul tempat ketiga di belakang pasukan tuan rumah, Singapura dan Australia.

Peserta kategori Braveheart, Kamaruddin Padin menduduki tempat keempat di belakang pemenang tempat pertama dari Singapura, Australia dan Indonesia.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi, Bahagian Operasi JBPM Penolong Pesuruhjaya Bomba Morni Mamat berkata, semua peserta dipilih JBPM Ibu Pejabat berdasarkan prestasi mereka sepanjang tahun.

Katanya, Global Fire Fighter and Paramedic Challenge Singapura yang diadakan secara tahunan disertai 17 negara termasuk Singapura, Australia, Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand, Hong Kong, Vietnam dan Bangladesh.

“Kedua-dua pertandingan itu mempunyai kiraan mata tersendiri dan bagi kategori Braveheart, peserta perlu melakukan pelbagai tugasan dan pemenang berdasarkan masa terpantas.

“Antara tugasan diberikan termasuklah membawa dan memanjat tangga, membentang, menggulung dan membawa hos ke tingkat tiga, merentangi tali serta menurun dan membawa mangsa ke tempat selamat. Semua ini dilakukan seorang peserta.

“Walaupun memberikan persembahan terbaik, peserta kami menduduki tempat keempat selepas ketinggalan hanya 7 saat di belakang peserta Indonesia,” katanya.

Menurutnya, kategori RIP adalah pertandingan gerak kerja mengeluarkan mangsa dari kenderaan kemalangan.

Gerak kerja itu dilakukan empat orang sepasukan dan JBPM berjaya menduduki tempat ketiga.

Katanya, senario diberikan adalah menyelamatkan mangsa kemalangan yang tersepit dan setiap pasukan perlu mengeluarkan mangsa dari bumbung.

“Setiap pasukan cuba menyelamatkan mangsa dengan memotong bumbung kereta dan markah diberikan berdasarkan cara penyelamatan digunakan dan masa diambil.

“Alhamdulillah, walaupun tidak dapat mengekalkan kejayaan tahun lalu iaitu nombor tiga bagi kedua-dua kategori, kami berpuas hati kerana masih berada dalam kelompok teratas pasukan yang mengambil bahagian sekali gus membuktikan kaedah penyelamatan digunapakai selama ini mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan berusaha lebih gigih dalam setiap latihan bagi memastikan anggota JBPM sentiasa bersedia dan boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia dan pada masa sama, muncul juara dalam kejohanan ini tahun depan.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 6:58pm
d