mutakhir

Insaf Malaysia mohon tambahan ambulans

Oleh Amir Abd Hamid

PERTUBUHAN Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf Malaysia) merayu orang ramai khususnya badan korporat menghulurkan sumbangan untuk penambahan ambulans bagi badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Presiden yang juga pengasas Insaf Malaysia, Ishak Abdul Kadir berkata, ketika ini pihaknya memiliki dua ambulans dan menjalankan perkhidmatan membantu orang susah secara percuma di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan sekurang-kurang pertambahan 11 ambulans selari dengan jumlah kawasan parlimen di Kuala Lumpur sebelum meluaskan ke negeri lain.

“Perkhidmatan ambulans kami lebih kepada mereka yang tidak mampu dari segi kewangan dan bukannya kes kecemasan seperti kemalangan.

“Data mengenai orang susah termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) kami dapatkan daripada bahagian sosial hospital sebelum pesakit disasarkan diberikan bantuan.

“Selain lebih mengutamakan operasi sekitar Lembah Klang, kami pernah memberi khidmat menghantar pesakit kanser dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke Gambang, Pahang selain pesakit dari Meru, Klang ke Mersing, Johor tanpa mengenakan sebarang bayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Pejabat Operasi Ambulans Insaf Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Ia dirasmikan Pengarah Eksekutif Pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mustafa Mohd Nor.

Turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Insaf Malaysia diwakili Ishak dan syarikat farmasi Alpro Foundation diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ostwin Paw Yen Thng.

Ishak berkata, selain 400 sukarelawan Insaf Malaysia aktif sejak 10 tahun lalu, mereka mempunyai empat paramedik bertugas untuk dua ambulans.

Beliau berkata, paramedik itu adalah lepasan kedoktoran yang sanggup berkhidmat dengan mereka pada bayaran agak sederhana.

“Kami sedang mengenal pasti lepasan kedoktoran masih menganggur untuk menjalankan khidmat di Insaf Malaysia.

“Mengenai perasmian Pejabat Operasi Ambulans Insaf Malaysia hari ini, saya amat berterima kasih kepada DBKL sebab memberikan sewa tapak dengan kadar amat murah selain penyumbang membangunkan kawasan ini sejak Mei lalu.

“Pejabat operasi ini dilengkapi surau, bilik doktor dan sukarelawan serta kawasan ambulans amal yang kami laksanakan untuk masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, selain menyediakan khidmat perubatan, Insaf Malaysia mempunyai perkhidmatan kepada memerlukan dari segi perlindungan, makanan, air bersih, kebajikan dan pendidikan.

Mereka yang memerlukan bantuan Ambulans Insaf Malaysia boleh hubungi hotline 018-2461999 atau 011-11161999 atau layari laman sesawang www.insafmalaysia.org.my untuk maklumat lanjut.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 8:32pm
d