mutakhir

Bukan dipukul tetapi disamun

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS mengesahkan menerima satu laporan polis daripada lelaki warga Indonesia yang dipukul dan disamun 19 November lalu.

Bagaimanapun laporan dibuat mangsa, Fuad Naji itu tidak mempunyai kaitan dengan insiden dakwaan penyokong warga Indonesia dipukul rakyat Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, laporan polis dibuat 8.08 pagi yang mana lelaki itu memberitahu dipukul dan disamun sekumpulan lelaki ketika berada di Bukit Bintang.

Menurutnya, pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan percaya ia tidak mempunyai kaitan dengan perlawanan bola sepak pada malam itu.

“Kes diklasifikasikan sebagai samun memandangkan siasatan setakat ini mendapati dia kehilangan pasport dan sejumlah wang.

“Motif kejadian tidak dapat dipastikan sehingga kini dan masih mengesan mangsa kerana pegawai penyiasat tidak dapat merekodkan keterangannya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Huzir berkata, mangsa terus menghilangkan diri sebaik dinasihat mendapat rawatan sejurus selesai membuat laporan di pondok polis Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Usaha mengesannya di hotel penginapan menemui jalan buntu dan polis menggesa dia dan rakannya yang menjadi mangsa tampil bagi membantu siasatan.

“Polis juga memohon kerjasama Kedutaan Indonesia untuk memaklumkan mangsa mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, berkenaan siasatan penyebaran video pergaduhan terbabit polis sedang dalam tindakan mengesan serta mengenal pasti individu merakam dan menyebarkannya.

“Individu atau saksi yang ada maklumat mengenai perkara ini dinasihatkan menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 1:13am
d