mutakhir

10 tahun tak selesai

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

GANGGUAN bekalan air yang membelenggu lebih 1,000 penduduk di Kuala Besar, Jalan PCB, Kota Bharu, lebih 10 tahun lalu menjejaskan aktiviti harian mereka terutama untuk mandi, memasak dan membasuh pakaian.

Bagi peniaga kedai makan pula, masalah itu menyebabkan perniagaan mereka terjejas dan terpaksa menutup premis dalam tempoh yang lama.

Peniaga, Rohani Hussin, 49, berkata, awal tahun lalu masalah ketiadaan air meruncing sehingga dia terpaksa menutup kedai makan selama sebulan.

“Bagi meneruskan hidup dan membesarkan tiga anak, saya membuat perigi untuk mendapatkan sumber air.

“Namun, air perigi ‘berkarat’ dan tidak boleh digunakan untuk memasak dan hanya untuk membasuh pinggan mangkuk saja.

“Saya terpaksa membeli air bersih untuk memasak dan menyediakan minuman kepada pelanggan serta mengeluarkan kos lain membeli keperluan itu,” katanya ketika ditemui di Kuala Besar, Kota Bharu.

Menurutnya, dia juga membina telaga tiub tetapi keadaan air sangat kotor hingga tidak boleh digunakan.

Katanya, dia tidak menggunakan air telaga tiub itu kerana sumber air berkenaan berbau.

Penduduk, Ismail Mohamad, 40, berkata, sumber air yang kotor menyebabkan pakaian yang dibasuh menjadi kuning.

Katanya, bagi mengelakkan pakaian kotor, penduduk terpaksa membasuh pakaian di kedai dobi.

“Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) ada menyediakan tangki air bersih untuk penduduk tetapi ia hanya mampu bertahan sehari saja.

“Kami terpaksa berebut air kerana penduduk di kawasan ini ramai dan air tangki tidak cukup untuk menampung keperluan,” katanya.

Menurutnya, baru-baru ini ibunya, Zainun Salleh, 61, meninggal dunia dan dia terpaksa memohon air bersih dengan AKSB menerusi ketua kampung.

“Kami sudah letih dengan masalah ini kerana tiada penyelesaian walaupun penduduk banyak kali membuat aduan kepada pihak berkenaan.

“Kami tidak tahu mahu mengadu kepada siapa lagi dan berharap pemimpin setempat mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani masalah itu.

“Penduduk juga terpaksa menunggu air paip antara jam 4.30 pagi hingga 6.30 pagi dan ia hanya keluar dalam tempoh seminggu atau dua minggu sekali,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 6:15am
d