mutakhir

Nak khatan sebab dah ada 'gewe'

Oleh Siti Rohana Idris

“HAIKAL cukup bersemangat untuk berkhatan dengan memberi alasan sudah ada ‘gewe’ (teman wanita),” kata Habsah Harun, 54 ibu kepada Muhamad Haikal Haziq Aziman, 12, yang menghidap Sindrom Down.

Muhamad Haikal dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Laut, adalah antara 50 peserta Sunathon anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) di SK Pulau Beluru, Tumpat, semalam.Habsah, 54, berkata, anak ke-13 daripada 14 beradik menyuarakan hasrat untuk berkhatan kepada bapanya beberapa minggu lalu.“Kami cuba menakut-nakutkannya dengan niat bergurau tetapi Haikal tidak mengendahkannya.“Dia tahu apa itu bersunat dan selalu menunjukkan cara ‘memotong’ malah boleh dikatakan setiap hari bertanya bila nak bersunat,” katanya ketika ditemui, di sini.Menurutnya, sepatutnya anak istimewanya itu berkhatan beramai-ramai tahun lalu, namun pihak sekolah enggan mengambil risiko kerana tiada doktor pakar.“Apabila mengetahui mengenai program sunathon anjuran USM di sekolah itu, saya terus mendaftarkan nama Haikal bersama adiknya, Muhamad Farish Aidil, 9.“Walaupun Haikal anak istimewa, dia seorang yang mendengar kata dan saya tidak risau sepanjang tempoh berpantang,” katanya.Sementara itu, Pengarah Projek, Ameer Izzuddin Mohd Nazri berkata, program itu antara pengisian sempena Program Bakti Siswa USM dengan kerjasama beberapa agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).“Ia adalah kesinambungan daripada program khidmat masyarakat ‘Mahasiswa Jelajah Pulau’ yang dijalankan di Pulau Seratus, pada 30 Jun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 6:45am
d