mutakhir

Kitar semula dan lari [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

ACARA ‘The Music Run by CIMB’ berlangsung meriah dengan penyertaan 20,000 peserta di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Pelepasan peserta jam 4.30 petang bagi kategori larian lima kilometer (km) dan 10 km disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, acara julung kali dianjurkan CIMB memberi peluang kepada masyarakat berhibur sambil mengamalkan gaya hidup sihat bersama rakan dan ahli keluarga.

Katanya, sebelum larian, orang ramai berpeluang meletakkan barangan boleh dikitar semula di lokasi disediakan.

“Memandangkan kelestarian adalah objektif kepada acara ini, orang ramai diberi peluang membawa barangan terpakai seperti komputer lama atau telefon lama untuk dikitar semula.

“Selain itu, medal dan trofi yang kami sediakan untuk pemenang juga dihasilkan daripada barangan kitar semula,” katanya yang turut menyertai acara larian berkenaan.

Sementara itu, peserta, Engku Isyamuddin, 38, yang pertama kali menyertai acara berkenaan mengakui teruja dengan aktiviti diadakan.

“Larian ini dianggap istimewa kerana acara sebegini adalah pertama kali saya sertai bersama isteri.

“Acara ini dilihat sangat menarik dan ia adalah peluang untuk saya mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Nurul Manisha Abdul Rahim, 25, berkata, ini adalah pembabitan kali kedua dalam acara The Music Run.

“Acara tahunan The Music Run sangat menarik. Tahun lalu saya sudah sertai bersama rakan menyebabkan saya sangat teruja untuk menyertai The Music Run anjuran CIMB kali ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 12:50pm
d