mutakhir

'Berilah kami sedikit masa...' - Guan Eng [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

“JANJI Pakatan Harapan (PH) akan dilaksanakan dan kami minta sedikit masa untuk mencapainya,” demikian permintaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mahu kerajaan Persekutuan diberikan sedikit masa lagi bagi melaksanakan janji ditawarkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tempoh hari.

Beliau berkata, kerajaan Pulau Pinang sebagai contoh sudah banyak berubah sejak 10 tahun ditadbir PH dan itu yang cuba dilakukan di peringkat Persekutuan.

Katanya, di Pulau Pinang, kerajaan negeri berjaya menjalankan beberapa program membantu rakyat termasuk Program Penghargaan Warga Emas yang sudah 10 tahun dilancarkan.

“Program ini sudah dilancarkan di Pulau Pinang sejak 10 tahun lalu bagi membantu warga emas, ibu tunggal dan ibu emas dan hari ini ialah fasa terakhir.

“Ini kejayaan kerajaan negeri yang mewujudkan kerajaan bersih dan bantuan program ini adalah dividen anti rasuah yang dipulangkan kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri berjaya mentadbir Pulau Pinang dengan bersih dan ini yang mahu dilakukan di peringkat Persekutuan.

Guan Eng berkata, apabila kerajaan berjaya memulihkan keadaan, program sedemikian akan dilaksanakan selain menambah baik program sedia ada.

“Ia perlu dilaksanakan dan bagi tujuan itu, kita memerlukan kewangan sebelum melaksanakannya demi menjamin masa depan anak kita kelak.

“Janji PH akan dilaksanakan dan saya minta sedikit masa untuk itu. Jika kerajaan terdahulu ambil masa lima tahun untuk mencapainya, saya harap masa sama diberikan kepada kerajaan PH,” katanya.

Menurutnya, banyak perubahan sudah dibuat di peringkat Persekutuan dan ia dilakukan secara berperingkat.

Katanya, di Pulau Pinang misalnya, rakyat sudah melihat perbezaan antara kerajaan terdahulu dan sekarang.

“Jika dahulu rakyat biasa tidak dapat hasil selain kroni, namun kini semua lapisan dapat merasainya,” jelasnya.

Terdahulu, Guan Eng menyampaikan bantuan RM130 kepada lebih 300 penerima fasa terakhir Program Penghargaan Warga Emas di Bagan Ajam.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 1:09pm
d