mutakhir

'Saya pilih jalan aman, tidak mahu kecoh-kecoh'

Oleh Siraj Mohd Zaini

DATUK Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak termasuk ahli PKR supaya bersabar dan memberi ruang kepada peralihan kuasa Perdana Menteri.

Beliau berkata, dirinya tidak mahu terburu-buru dan memberi ruang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memulihkan ekonomi negara.

“Saya pilih jalan aman, tidak mahu berlaku suasana kecoh-kecoh. Saya mahu beri ruang padanya (Dr Mahathir) tadbir urus dengan rakan-rakan kita di Kabinet untuk memulihkan ekonomi supaya transisi (peralihan jawatan) itu berlaku dengan baik. Ini pendirian saya.

“Saya minta semua, baik Otai Reformis, ahli-ahli PKR agar bersabar kerana keadaan yang tenang dan damai akan memudahkan saya mengambil alih jawatan perdana menteri,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Reformis 2019 di Shah Alam hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan semalam juga memberi jaminan bahawa dirinya adalah bakal Perdana Menteri ke-8.

“Dr Mahathir dengan jelas menyatakan, beliau Perdana Menteri ke-7, (Datuk Seri) Dr Wan Azizah (Wan Ismail) Timbalan Perdana Menteri dan saya Perdana Menteri ke-8.

“Jadi saya berharap semua pihak bersabar dan saya tidak gusar dengan segala tohmahan pihak tertentu kononnya ada pemimpin lain yang akan dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Dr Mahathir,” katanya.

Beliau berkata, segala tohmahan itu disifatkan sebagai suara kecil yang tidak akan memberi kesan kepada peralihan kuasa apabila tiba masanya kelak.

“Yang akan tentukan saya menjadi perdana menteri kelapan bukan dua tiga kerat pemimpin ini, yang tentukan adalah rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 3:11pm
d