mutakhir

Hukum pemandu mabuk lebih berat

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SEKSYEN 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 perlu dikaji semula untuk menetapkan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk sehingga mengakibatkan kemalangan.

Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Mohammad Hisham Shafie berkata, ia susulan beberapa kes pemandu mabuk terbabit kemalangan sehingga menyebabkan kematian.

Beliau berkata, beberapa kes direkodkan sebelum ini menunjukkan kejadian berkaitan isu itu semakin meningkat sejak kebelakangan ini dan ia memerlukan peruntukan hukuman lebih berat kepada mereka yang didapati bersalah.

“Kami dapati ia seperti sudah dianggap biasa. Daripada 10 kemalangan, dua atau tiga dikesan membabitkan pemandu mabuk dan ini tidak seharusnya berlaku.

“Bagaimana pemandu mabuk dikenakan hukuman penjara mandatori antara tiga hingga 10 tahun dan denda RM8,000 hingga RM20,000, sedangkan di satu pihak lagi kehilangan nyawa.

“Jadi PPJK mengesyorkan sesuatu perlu dilakukan, tidak memadai hanya dengan kempen kesedaran yang tidak mendatangkan sebarang kesan kepada pemandu.

“Kita perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan jangan biarkan ia berterusan,” katanya kepada Harian Metro.

Mohamad Hisham berkata, pihaknya turut mengesyorkan Kementerian Pengangkutan mengadakan sesi perbincangan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu terbabit.

Menurutnya, ia bagi mendapatkan buah fikiran NGO serta agensi berwajib lain yang mempunyai data hasil daripada aduan pengguna jalan raya yang bimbang dengan keselamatan mereka ketika memandu.

“Sebab itu kita lihat ada video tular di media sosial membabitkan kemalangan maut berpunca daripada pemandu mabuk.

“Itu antara inisiatif boleh diambil untuk memberi isyarat kepada pihak berkuasa dan pengguna lain betapa pemandu mabuk ini mendatangkan risiko kecelakaan di jalan raya,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 4:00pm
d