mutakhir

Kalau belum ajal...

Oleh Muhamaad Razis Ismail

LELAKI patah tulang bahu kiri selepas lori dipandunya terbalik di tapak kuari, Bukit Jawa, Pasir Puteh hari ini.

Dalam kejadian 11.40 pagi itu, mangsa berusia 51 tahun dikejarkan ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, ketika kejadian mangsa sedang membawa keluar batu kuari.

“Bagaimanapun apabila tiba di lokasi, lorinya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.

“Kemalangan mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu. Dia bagaimanapun berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Azhar Elmi Mustoffa berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.49 pagi sebelum 10 anggota bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba mangsa masih lagi tersepit di tempat pemandu. Kami mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa.

“Operasi tamat sepenuhnya 1.24 tengah hari,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 7:52pm
d